Oleh Hafizah Iszahanid hafiza@bharian.com.my
Masalah kekeringan, jangkitan antara sebab pengguna kanta lekap kembali berkaca mataPENGGUNAAN kanta lekap dewasa ini lebih kepada satu trend apabila semakin ramai menggunakannya bagi menggantikan kaca mata. Di satu sudut pula, tidak kurang juga yang mengenakan kanta lekap pelbagai warna atas alasan kosmetik.
Namun, tahukah anda, ada juga yang cuma selesa menggunakan kanta lekap buat sementara sebelum kembali berkaca mata. Alasannya - tidak selesa, takut mengalami jangkitan dan masalah kekeringan.
Kajian Pakar Runding Optometris Amerika Syarikat, Dr John Rumpakis pada 36 negara mendapati setiap tahun antara 16 ke 30 peratus pengguna berhenti menggunakan kanta lekap. Angka ini jelasnya, menjadi cabaran besar kepada pakar runding optometris profesional jika mereka tidak memulakan pendidikan kepada pengguna untuk memilih kanta lekap dan kaedah cucian atau bilasan yang betul.
Secara umumnya, kata Rumpakis keuntungan tahunan yang dijana daripada seorang pengguna kanta lekap adalah setinggi RM1,173 (AS$326), sementara nilai pemberhentian untuk setiap pengguna adalah RM8,640 atau AS$2,400.
“Di seluruh dunia, ada 125 juta pengguna kanta lekap. Secara rawak pula, doktor mata menerima 12 hingga 22 pesakit baru setiap bulan. Secara purata, pakar mata profesional merawat 23 pengguna yang memilih kanta lekap jenis kekal manakala antara 75 ke 133 orang memilih kanta lekap jenis lembut setiap bulan,” katanya.
Namun, bilangan mereka yang berhenti menggunakan kanta lekap juga kian meningkat iaitu 15.9 peratus di Amerika Syarikat, 31 peratus di Asia Kepulauan Pasifik dan 30.4 peratus di Eropah, Asia Barat dan Afrika.
Kata Rumpakis, faktor mereka berhenti menggunakan kanta lekap hampir sama di seluruh dunia iaitu faktor ketidakselesaan (41.9 ke 52.9 peratus), kanta lekap tidak membantu penglihatan (3.8 ke 17.5 peratus) dan kosnya pula 11.6 ke 17.5 peratus.
“Di kalangan pengguna di Asia dan Kepulauan Pasifik faktor ketidakselesaan, 10 peratus dan bimbang mengalami jangkitan sekali lagi, 17.5 peratus,” katanya.
Sebelum ini, Universiti Waterloo Ontario, Kanada dan Universiti Ohio State pernah menjalankan kajian sama dengan hasil sama iaitu, faktor ketidakselesaan 27 peratus, masalah kekeringan pada mata, 16 peratus dan masalah mata merah 11 peratus.
“Di kalangan pengguna di Asia, masalah ketidakselesaan dan takut berlakunya jangkitan adalah punca yang biasa diterima berbanding pengguna lain di seluruh dunia. Tahap pendidikan juga mempengaruhi persepsi pengguna terhadap risiko penggunaan kanta lekap.
“Namun, bagi pengguna yang menggunakan kanta lekap berpreskripsi tinggi, berpendapat menggunakan kanta lekap adalah pilihan terbaik berbanding kaca mata, terutama bagi mereka yang aktif bersukan. Umumnya, mereka yang berhenti menggunakan kanta lekap adalah pengguna yang menggunakannya atas faktor kosmetik,” katanya.
Kata Rumpakis, di kalangan pakar runding optometris profesional, penggunaan kanta lekap sebenarnya perlu seiring dengan pembilas kanta lekap yang betul.
“Pastikan jenama pembilas itu disarankan oleh doktor mata yang sama memberi preskripsi kanta lekap. Pembelian terus di farmasi mungkin menyebabkan kanta lekap dan pembilas tidak tepat sekali gus menyebabkan rasa tidak selesa,” katanya
No comments:
Post a Comment